Ciri-Ciri Disleksia Pada Anak

Bayangkan si comel anda mula memasuki alam persekolahan tadika – di kala usia 4/5 tahun. Sebagai ibu bapa pelbagai perasaan bermain dalam jiwa anda – seronok, bangga, teruja….

Setahun, 2 tahun, 3 tahun di tadika, guru tadika kata anak anda tidak seperti anak-anak lain. Saya seorang guru tadika. Mempunyai pengalaman mengajar anak-anak tadika selama 9 tahun. Dalam tempoh 9 tahun, ada beberapa orang pelajar saya mempunyai ciri-ciri disleksia. Saya ingin membantu anak-anak ini agar mereka akhirnya mampu membaca seperti rakan sebaya. Justeru itu, saya mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan seberapa maklumat mengenai disleksia melalui pembacaan dan berkongsi di ruang ini.

Mungkin anda sendiri yang perasan yang anak anda mempunyai ciri-ciri / tanda-tanda/ simptom disleksia.

Secara umumnya, anak disleksia mempamerkan perlakuan berikut :

  • Kelihatan bijak, petah bercakap tetapi tidak boleh membaca, menulis, mengeja seperti anak-anak seusia mereka
  • Dilabelkan sebagai malas, lembap, cuai, tidak berusaha, bermasaalah;
  • Memiliki IQ yang tinggi tetapi tidak cemerlang dalam bidang akademik;
  • Rendah hargadiri, cepat putus asa;
  • Berkemahiran dalam bidang drama, muzik, sukan, bercerita, rekacipta
  • Sering dilihat suka berangan, sukar menumpukan perhatian, aktif

MEMBACA

  • Sukar mengingati bunyi huruf contoh huruf “b” berbunyi “beh” apatah lagi menggabungkan dua bunyi untuk membentuk perkataan contoh “b” + “a” = ba;
  • menterbalik, mengurang atau menambah huruf atau perkataan contoh “mata” dibaca “tama” (menterbalik), “apa” dibaca “pa” (mengurang), “aku” dibaca “paku” (menambah)
  • meninggalkan perkataan atau kadang kala satu atau beberapa baris ketika membaca
  • sukar mengingati urutan huruf
  • sukar menyebut perkataan yang mempunyai beberapa sukukata
  • mengambil masa yang lama untuk membaca
  • tidak suka membaca atau memberi pelbagai alasan seperti sakit kepala atau sakit perut
  • menyebut perkataan lain dari perkataan yang sepatutnya
  • mengatakan melihat huruf bergerak ketika membaca, menulis atau menyalin
  • membaca, kadang kala berulang kali tanpa memahami apa yang dibaca

MENGEJA

  • sukar mengingati “spelling rules” (contoh spelling rules – “ph” dalam “phone” diganti dgn “f”)
  • tidak konsisten menggunakan huruf yang mempunyai bunyi yang hampir sama s dan z

Bertentangan dengan pendapat ramai, tidak semestinya anak yang melihat huruf/ nombor terbalik (mirror image) contoh b/d, p/q atau perkataan seperti “was” dibaca “saw”, “on” dibaca “no” mempunyai masalah disleksia kerana kecelaruan ini agak biasa dalam perkembangan awal kanak-kanak.

MENULIS

  • penggunaan huruf besar dan huruf kecil yang tidak konsisten
  • lambat bila menulis, enggan menulis jika terlalu banyak
  • sukar memegang pensel dengan baik
  • duduk secara janggal ketika menulis
  • tulisan buruk

MEMORI / INGATAN

  • sukar mengingati maklumat, memproses maklumat, mengikuti arahan dan mengambil masa berbuat demikian
  • lemah dalam menguruskan masa, bahan, alatan yang diperlukan dalam proses pembelajaran

KEMAHIRAN MOTOR HALUS DAN MOTOR KASAR

  • kekok dalam melakukan aktiviti harian seperti memegang pensel, memakai tali kasut, menggunakan gunting (kemahiran motor halus)
  • sukar menyelaraskan pergerakan hingga menyebabkan sering terlanggar perabut contohnya, tersadung dan jatuh (kemahiran motor kasar)
  • keliru dengan arah – kiri/kanan, atas/bawah

PENDENGARAN DAN PERTUTURAN

  • sering terlupa atau keliru dengan nama objek-objek di sekeliling;
  • pertuturan lambat, tidak lancar
  • mengambil masa untuk menjawab bila disoal
  • penumpuan mudah terjejas dengan bunyi persekitaran

 

Kebanyakan anak disleksia akan memaparkan 10 ciri-ciri di atas. Perlakuan/pemikiran mereka akan berubah dari masa ke semasa.

Anda sebagai ibu bapa/penjaga/guru perlu komited mengenalpasti masalah anak anda, bagaimana anda boleh mebantu, mengenalpasti kekuatan/kecerdasan yang dimiliki anak anda dan fokus kepada kekuatan/kecerdasan tersebut.

Akhbar The Star bertarikh 17 Januari 2013 melaporkan terdapat lebih kurang 400,000 kanak-kanak disleksia di Malaysia. Jumlah ini akan bertambah dari masa ke semasa bila kanak-kanak masuk tadika setiap tahun. Faktor kesedaran ibu bapa tentang disleksia juga akan meningkatkan statistik ini.

“mungkin dia lambat sikit membaca, nanti di sekolah rendah boleh je catch up”

“tak baguslah tadika ni”

“takkan anak saya tak boleh baca, perkara lain cepat je dia tangkap”

Apa yang perlu anda lakukan? Dapatkan diagnosis!

Bawa anak anda untuk diperiksa. Jika bukan disleksia, anda akan rasa lega. Jika disahkan disleksia, anda perlu membantu anak anda.

Intervensi awal sangat penting kerana otak anak anda pada peringkat usia muda lebih mudah “dibentuk”. Jika tiada intervensi awal, anak anda akan ketinggalan berbanding rakan sebaya yang semakin usia meningkat semakin banyak perkataan dibaca. Jika anak anda ketinggalan menguasai kemahiran membaca, lama kelamaan dia akan hilang lebih semangat untuk membaca. Dalam jangka masa panjang, akan rasa rendah diri dengan kelemahan membaca.

Satu fakta yang perlu anda tahu – disleksia boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati. Disleksia tidak hilang bila anak anda meningkat dewasa. Anak anda akan berupaya menguasai kemahiran seperti membaca dan menulis di peringkat sekolah rendah bila usia meningkat tetapi anak anda akan menghadapi cabaran-cabaran baru seperti belajar bahasa asing, konsep Matematik yang lebih advanced.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *