Mengajar Anak Membaca Dengan Kaedah Fonik

Baru-baru ini saya menghadiri seminar How To Teach Your Special Kids yang menampilkan Puan Nik Eliani Nik Nawi dan Dr Aishah Daud (Founder Fitrah Intervention Center).

seminar

Saya sudah lama ingin menghadiri seminar menampilkan Puan Nik Eliani tapi tak berkesempatan. Jika anda masih belum mengenali Puan Nik Eliani, beliau adalah penulis buku-buku berikut

bacalah anakku

readeasy

Saya membawa bersama 2 guru kami. Saya turut mengajak rakan seperjuangan saya, dari Q-dees Puncak Alam. Beliau membawa 3 guru bersama.

💡 KAEDAH FONIK

Puan Nik Eliani menegaskan bahawa kaedah fonik adalah kaedah terbaik untuk mengajar membaca. Puan Nik Eliani kata kaedah membaca melalui mengeja yang digunapakai secara berleluasa satu ketika dulu dan masih digunapakai di sekolah-sekolah tertentu patut disimpan di dalam muzium sahaja. Menurut Puan Nik Eliani, bunyi-bunyi dalam Bahasa Melayu yang penting untuk dikuasai oleh anak hanya 31, dalam Bahasa Inggeris 44 bunyi. Sedangkan jika kita mengajar anak mengeja sukukata, anak perlu menguasai 2056 sukukata. (Di Q-dees, untuk Bahasa Inggeris 4 dan 5 tahun, kami hanya fokus mengajar 26 bunyi iaitu a-z, bila masuk kelas 6 tahun, mereka akan diajar kesemua 26 bunyi asas dan juga 18 bunyi peringkat intermediate).

Puan Nik menunjukkan cara betul membunyikan huruf melalui pergerakan bibir, lidah, mulut dan peranan peti suara. Guru-guru dan ibu bapa juga diajar menyanyikan lagu untuk setiap bunyi huruf.

Duduk bersebelahan saya adalah seorang ibu muda. Anak sulung beliau adalah dyslexic. Kata beliau 2 tahun beliau hantar ke tadika yg mahal tetapi cikgu tak dapat kesan anak beliau menunjukkan tanda-tanda disleksia. Dia sendiri yang perasan. Bila hantar anak untuk screening, keputusan menunjukkan anak memang menunjukkan tanda-tanda disleksia. Ibu muda ini berusaha menghadiri seminar-seminar untuk membantu anak beliau.

Rakan saya menceritakan bagaimana dia memberitahu ibu seorang pelajar berusia 5 tahun ketika itu untuk bawa anak untuk screening. Ibu bapa tidak berbuat apa-apa. Ketika anak berusia 12 tahun, ibu menelefon rakan saya bagi tau, memang betul kata rakan saya. Anak dia disahkan mengalami disleksia. Minta kawan saya buat tusiyen untuk anak. Rakan saya kata dia tidak boleh membantu pada usia itu. Saya sependapat dengan rakan saya. Early intervention sebaik-baiknya berlaku pada peringkat prasekolah (Montessori menggelarkan peringkat 6 tahun ke bawah sebagai Sensitive Period – kadar penyerapan maklumat berlaku dengan kadar menakjubkan). Sekurang-kurangnya 10 tahun ke bawah untuk early intervention. Selepas umur itu bukan tak boleh tapi memerlukan usaha yang gigih, konsisten, kerap.

Saya mula mengenali kaedah fonik ketika saya mengambil Certificate in Montessori (Theory & Methodology) (London Montessori Centre) di SEGI College sekitar tahun 2004/05.

Kaedah Fonik adalah kaedah gabung bunyi (Synthetic Phonics (UK), Blended Phonics (US). Kanak-kanak seawal usia 18 bulan boleh diperkenalkan kepada Kaedah Fonik. Apa yang dilakukan oleh ramai ibu bapa, mereka memperkenalkan huruf kepada anak-anak terlebih dahulu. Kaedah yang betul adalah memperkenalkan bunyi huruf.

Tujuan menggunakan Kaedah Fonik adalah untuk mengajar anak-anak hubungan antara huruf dan bunyi untuk membolehkan mereka encode (membina) perkataan, decode (menyahkod, mengasingkan bunyi huruf); kebolehan ini merupakan elemen penting anak-anak boleh membaca dengan lancar.

Kenapa Kaedah Fonik penting?

Untuk membaca dengan lancar, anak perlu diajar hubungan sound-spelling relationships (hubungan antara huruf dan bunyi yang dihasilkan oleh huruf tersebut). Kajian menunjukkan anak-anak yang membaca dengan lancar melakukan strategi berikut :

  • membunyikan setiap huruf dalam perkataan;
  • menggabungkan bunyi-bunyi tersebut;
  • akhirnya membaca perkataan tersebut.

Contoh yang mudah : c-a-t

Anak akan sebutkan satu persatu bunyi 3 huruf di atas. Apa yang biasa kami lakukan selepas itu, menyuruh anak menyebut dengan laju ketiga-tiga bunyi tersebut. Mula-mula anak akan mengambil masa untuk akhirnya menyebut c-a-t (sebagai 1 perkataan). Lama kelamaan anak akan terbiasa dengan kaedah ini dan mampu menggabungkan bunyi (blend sounds) membentuk perkataan.

Perlu diingat, kaedah fonik merupakan satu proses :

  1. membunyikan satu persatu huruf; (decode)
  2. menggabungkan bunyi; (blend)
  3. menyebut/ membaca perkataan. (word recognition)

image decoding

Bila anak mengenal perkataan, ini boleh meningkatkan kelancaran membaca. Lagi banyak perkataan yang anak kenal, semakin lancar pembacaan anak. Semakin lancar pembacaan anak semakin menambahkan pemahaman anak. Ini kerana bila anak tidak perlu bersusah payah atau mengambil masa lama di peringkat decoding, anak boleh fokus cuba memahami teks.

Kaedah Fonik juga meningkatkan keupayaan mengeja kerana kaedah ini menekankan “spelling patterns” yang anak sudah biasa lihat, dengar, baca dari pembacaan mereka. Bila anak pandai

  • membunyikan huruf,
  • menggabungkan bunyi,
  • mengenal perkataan

mengeja tidak lagi menjadi masalah. Kajian menunjukkan separuh dari perkataan dalam Bahasa Inggeris boleh dieja menggunakan kaedah fonik dari mengeja satu persatu huruf.

💡 MULTI SENSORI (MULTISENSORY INSTRUCTION)

Dr. Samuel Terry Orton antara yang terawal mengesan sindrom disleksia di kalangan pelajar mengesyorkan agar

fundamentals of phonic association with letter forms, both visually presented and reproduced in writing until the correct associations were built up

Pada pertengahan 1920an, Dr Orton mengatakan pengukuhan kinesthetic-tactile boleh membantu antara lainnya anak-anak yang selalu keliru dengan huruf “b” dan “d”. Mereka ini dilatih tubi menulis huruf “b” dan “d”. Bagi huruf “b” mereka diajar menulis garis vertikal dulu, kemudian bulatan di depan. Bagi huruf “d”, mereka dilatih tubi melukis bulatan dulu, kemudian garis vertikal.

Anna Gillingham dan Bessie Stillman menggunapakai kaedah Dr. Orton ini dalam manual pengajaran mereka yang berasaskan multi sensori pada tahun 1936. Banyak program hari ini menggunapakai kaedah dan prinsip yang terdapat dalam manual ini dan kemudian dilakukan penambahbaikan dengan kaedah-kaedah lain.

Antara sebab anak disleksia lemah membaca adalah kerana mereka sukar mengenalpasti bunyi yang terdapat dalam perkataan; menggabungkan bunyi untuk membentuk perkataan atau membahagikan perkataan berdasarkan bunyi. Kelemahan ini menyebabkan sukar bagi mereka membaca perkataan hanya dengan melihat (word recognition); ini juga menjejaskan kebolehan mereka memahami teks dengan cepat.

Anak-anak belajar dengan pelbagai cara yang berlainan. Ada yang lebih mudah belajar dengan melihat (visual learners), ada yang cenderung menggunakan deria pendengaran (auditory learners), ada yang lebih mudah belajar dengan membuat (kinesthetic learners).

Multi sensori :

➡ mengajar anak-anak memaksimakan penggunaan lebih dari satu deria

➡ kebanyakan program membaca untuk pelajar lemah membaca seperti anak disleksia menggunakan kaedah ini

➡ memberi kanak-kanak belajar sesuatu perkara/ konsep dengan lebih dari satu cara

Cara mudah memahami bagaimana multi sensori digunakan dalam pengajaran :

anak belajar tentang buah epal

jika hanya deria penglihatan yang digunakan, guru mungkin akan menunjukkan kepada anak kad imbas yang terdapat huruf “a” dan kad yang terdapat gambar epal

jika multi sensori digunakan, anak akan diberikan sebiji epal (concrete object) di mana anak dapat menggunakan deria penglihatan, deria bau, deria rasa, deria sentuh. Dari sini anak belajar tentang epal melalui penglihatan, pendengaran, kinesthetic-tactile (touch and movement).

💡 BERSTRUKTUR DAN SISTEMATIK 

Mengajar Kaedah Fonik secara berstruktur, dari sebutan paling senang ke sebutan paling susah, dari bunyi yang biasa kepada bunyi yang tidak biasa, serta cara yang sistematik akan meningkatkan peluang untuk anak boleh membaca. Contoh mengajar secara berstruktur dan sistematik – huruf yang mempunyai continuous sound seperti huruf “m” dan “s” diajar terlebih dahulu sebelum huruf yang mempunyai stop sound seperti “t” dan “p”.

💡 EXPLICIT INSTRUCTION

Kaedah Fonik perlu diajar sejak dari tadika lagi. Guru perlu menyebut dengan jelas secara konsisten bunyi huruf yang diajar. Masa yang diperlukan sekurang-kurangnya 20 minit untuk setiap sesi. Dalam masa 20 minit ini, aktiviti multi sensori digunakan untuk mengajar anak. Guru perlu menunjukkan cara bagaimana sesuatu huruf itu dibunyikan, digabungkan hingga menjadi perkataan.

Telah banyak kajian membuktikan keberkesanan Kaedah Fonik dalam mengajar anak-anak membaca. Walaupun saya akui kaedah look say atau whole word approach tidak boleh diketepikan sama sekali, penting bagi ibu bapa dalam memilih tadika untuk anak-anak memastikan memilih tadika yang mengajar Kaedah Fonik. Di peringkat tadika adalah peringkat yang kritikal kerana jika asas Kaedah Fonik anak kuat, dan jika anak tidak menghadapi masalah pembelajaran yang severe, proses anak belajar membaca menjadi lebih mudah.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *