Kenapa Anak Saya Tak Boleh Membaca

Mungkin anda di kalangan pembaca yang mempunyai soalan seperti di atas. Anda mungkin telah hantar anak ke tadika seawal usia 4 tahun, hantar tuisyen membaca, ajar sendiri di rumah. Musykil kenapa anak orang lain yang hantar ke tadika pada usia 5 atau 6 tahun, boleh saja membaca dengan cepat.

Baru-baru ini saya menghadiri Program Understanding Dyslexia & Roundtable Discussion. Salah seorang penceramah – Puan Arva Gulamabbas (FB Page : Dyslexia Tutor) beri 7 sebab mengapa anak tidak dapat kuasai 3M; membaca, menulis dan mengira.

  1. Anak Disleksia

Bagaimana ibu bapa ingin tahu sama ada anak mereka ada disleksia? Sebagai seorang guru tadika, saya hanya mampu memberitahu ibu bapa anak mereka menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah pembelajaran. Guru, terutama guru tadika tidak boleh buat diagnosis atau label pelajar sebagai anak disleksia. Ini kerana diagnosis untuk disleksia lebih sesuai di buat waktu anak berusia 7 tahun ke atas sebab kadang-kadang ada kanak-kanak late bloomer. Di seminar ini saya baru tahu, yang paling sesuai untuk anda berjumpa adalah Psikologi Klinikal (Clinical Pyschologist). Di seminar yang sama, saya mendengar penerangan dari Puan Farah Putrinegara dari WeCare Allied Health Center, seorang pakar Psikologi Klinikal tentang masalah pembelajaran. Kos tentunya lebih murah jika penilaian dibuat di hospital kerajaan seperti HUKM dan HKL tetapi jika tempoh menunggu agak lama, anda boleh berjumpa Psikologi Klinikal swasta seperti Puan Farah.

2. Kurang Pendedahan

Puan Arva sependapat dengan saya; umur 4 tahun sesuai hantar anak ke tadika. Kebanyakan tadika untuk anak 4 tahun tidak mempunyai silibus belajar yang susah dan di luar kemampuan anak. Biasanya lebih banyak aktiviti hands on. Kelas 6 tahun di tadika saya ramai kerana ada ibu bapa yang hanya hantar anak ke tadika di waktu anak berusia 6 tahun seolah-olah guru tadika ada magic wand – anak boleh pandai membaca dalam waktu yang singkat. Ajar dan belajar membaca adalah satu proses yang panjang dan kompleks. Jika dimulakan tadika dari 4 tahun, sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan kepada anak, ibu bapa dan guru. Tidak perlu terburu-buru ajar dan belajar banyak perkara dalam masa yang singkat.

Jika anak selalu tak ke sekolah sama ada sakit, sering ikut ibu bapa bercuti, tak suka pergi sekolah, datang lambat boleh juga sebabkan anak tidak dapat menguasai kemahiran 3M dengan baik. Mungkin anak tertinggal topik penting yang menyukarkan anak ikut topik tersebut atau topik berikutnya.

Anak juga perlu didedahkan dengan literasi awal sejak dari bayi. Literasi awal bukan bermaksud mengajar anak membaca dan menulis; ia memerlukan ibu bapa mengamalkan interaksi positif dengan anak dan menyediakan persekitaran yang kaya literasi sejak anak dilahirkan. Anak perlu didedahkan dengan aktiviti yang dapat merangsang perkembangan kognitif sebelum masuk tadika. Boleh baca post saya tentang peranan ibu bapa membantu perkembangan literasi anak.

3. Masalah pertuturan

Akan menjejaskan perkembangan fonologi iaitu perkembangan bahasa yang berkaitan dengan pemahaman dan pengeluaran bunyi-bunyi bahasa pertuturan. Kemahiran 3M memerlukan anak

  • Mengetahui berapa bunyi diperlukan untuk membentuk satu perkataan (decoding)
  • Mengetahui maksud perkataan itu, bila dan di mana perkataan itu boleh digunakan

Anak yang mempunyai perbendaharaan kata yang luas selalunya boleh membaca dengan baik. Begitu sebaliknya; anak yang mempunyai masalah pemahaman selalunya berisiko lemah membaca. Anak yang mempunyai perbendaharaan kata yang luas lebih mudah kenalpasti bunyi yang terdapat dalam perkataan; kesedaran fonemik ini ini secara langsung mempengaruhi kebolehan untuk word-decoding dan akhirnya menambah akses kepada bahan bercetak.

4. Global Delay Development (GDD)

Bila memperkatakan tentang perkembangan anak-anak, ianya perlu dilihat dari 5 aspek :

  • perkembangan fizikal
  • perkembangan kognitif
  • perkembangan bahasa
  • perkembangan emosi
  • perkembangan sosial

Anak mempunyai masalah atau lewat berkembang dalam kesemua aspek di atas mungkin berumur 6 tahun tetapi minda seperti umur 3 tahun; masih belum bersedia untuk menguasai 3M.

5. Masalah Emosi/Sosial

Masalah mungkin berpunca di rumah/ di sekolah seperti hubungan antara ibu bapa tidak harmoni, anak dibuli di sekolah, guru beri tekanan hingga anak tidak mahu ke sekolah. Ini beri kesan kepada keupayaan anak untuk fokus kepada apa yang diajar.

6. Masalah/Diagnosis Lain

Anak adalah autistic child atau mempunyai diagnosis lain seperti ADHD, ADD di mana daya tumpuan lemah.

7. Faktor Usia

Jika anak berusia 6 tahun dan ke bawah, berikan anak masa untuk belajar membaca dengan bantuan guru dan anda sebagai ibu bapa. Kadang anak mencapai umur 7/8 tahun baru menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Penting untuk anda membantu dan memantau perkembangan anak. Jika anda rasa anak memang jauh ketinggalan berbanding rakan sebaya, lebih baik anda bawa anak berjumpa Psikologi Klinikal. Better to be safe than sorry!


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *