Pemilik

Mendapat pendidikan rendah di Convent Infant Jesus (2) Melaka sebelum dipindahkan ke Sek Keb Bukit Beruang ketika berada dalam darjah 5 kerana ibubapa penulis merasakan lebih mudah mendapat peluang belajar di sekolah berasrama penuh jika bersekolah di sekolah luar bandar.

Mendapat peluang meneruskan pengajian peringkat menengah di Sek Tun Fatimah, Johor Bahru selama 5 tahun, kemudian melanjutkan pelajaran Tingkatan 6 di Malacca High School. Keputusan STPM yang baik membolehkan penulis melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Memulakan kerjaya sebagai seorang Peguam Bela dan Peguam Cara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL. Baru 2 tahun bekerja majikan beri kepercayaan kepada penulis untuk menguruskan salah satu cawangan firma di Seremban. Setelah berulang alik Sg Buloh-Seremban hampir 5 tahun, penulis nekad meninggalkan “comfort zone” dan menjadi francaisi Q-dees. Penulis adalah antara francaisi Melayu yang terawal, memulakan perniagaan tadika Q-dees di Saujana Utama, Sungai Buloh sejak 2007 hingga kini.

Sebelum membuka Q-dees, antara tahun 2004/2005 semasa masih menjadi peguam, penulis belajar mengenai kaedah Montessori di Segi College. Dianugerahkan Certificate in Montessori (Theory & Methodology) dari London Montessori Centre. Sepatutnya penulis mendapat diploma tetapi penulis tidak dapat menjalankan latihan praktikal selama 4 bulan sepenuh masa (antara syarat dapatkan diploma) kerana masih bekerja waktu itu.

Minat penulis mendalami ilmu disleksia bermula bila lihat ada di antara anak didik penulis menghadapi kesukaran membaca, menulis dan mengira walaupun pelbagai kaedah digunakan.

Telah hadir banyak bengkel, seminar dan kursus berkaitan disleksia. Pada November, 2016, penulis telah berangkat ke Singapura untuk mempelajari kaedah Orton Gillingham selama 3 hari. Kaedah yang telah digunakan sejak 1930an dikatakan banyak membantu anak-anak yang menghadapi masalah belajar terutama anak disleksia.

Perkongsian di blog dan Facebook Anak Disleksia adalah hasil dari pembacaan, pengalaman dan pembelajaran penulis. Penulis harap dapat beri ilmu yang bermanfaat kepada ibu bapa dan guru yang baca blog ini, insyaAllah.

Emylia Mohd Nor